Jumaat, 20 April 2018

Seksyen 24B (4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan bahan kempen hanya boleh dipamerkan semasa tempoh berkempen, yang bermula selepas hari penamaan dan berakhir pada hari mengundi (9 Mei). 7297.

Penduduk Bengang Bendera Parti Bertebaran

Kejiranan mewah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mungkin lebih dikenali sebagai tempat yang menawarkan restoran eksklusif daripada menjadi pusat perhatian politik.

Namun dalam tempoh 10 hari lalu, pihak polis telah melancarkan siasatan terhadap dua kejadian berasingan penduduk menurunkan bendera BN di kawasan kejiranannya. Tiga orang juga telah ditangkap.

Susulan itu, Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Rafii memberi amaran kepada penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya berhenti menurunkan bendera BN atas alasan bimbang tidak dapat menjamin keselamatan mereka.

Bagaimanapun, ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk TTDI (TTDIRA) Margaret Lee berkata menurunkan bendera tiada kena-mengena dengan sokongan politik kepartian tetapi sebaliknya ia adalah isu peraturan majlis tempatan.

Beliau menyifatkan hal itu berkaitan dengan tahap pengetahuan penduduk yang tinggi terhadap peraturan. Margaret memberi contoh usaha TTDIRA yang dilaporkan menggerakkan penduduk membantah pembangunan Taman Rimba Kiara.

"Penduduk sekarang mempunyai banyak pengetahuan tentang undang-undang dan mereka menyedari hak mereka. Dan mereka tidak takut untuk bercakap atau menunjukkan rasa kecewa mereka.

"Mereka tahu bahawa parti politik tidak dibenarkan memasang bendera sehingga selepas hari penamaan calon (28 April), tetapi pihak berkuasa tidak melakukan tugas untuk menurunkannya," kata beliau kepada Malaysiakini dalam suatu wawancara.

Beliau turut mengutuk penangkapan itu dan ancaman Razlan.

Sementara itu, presiden TTDIRA, Abdul Hafiz Abu Bakar berkata penduduk mempunyai amalan bersama untuk menghapuskan "kain rentang haram", termasuk bendera yang dipasang secara tidak sah, dari sekitar kawasan kejiranan mereka.

"Kain rentang politik yang dipasang sebelum hari pencalonan adalah tidak sah, mungkin itulah yang mendorong mereka (penduduk yang ditahan menurunkannya).

"Sebelum ini, kami mempunyai penduduk yang akan menurunkan kain rentang 'haram', ia perkara biasa yang dilakukan.

"Kami melihat TTDI seperti kampung kami sendiri, kami mahu menjaga kawasan ini dengan baik dan rapi, tidak dihiasi dengan kain rentang tidak sah dan bendera yang digantung tidak kemas," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Seksyen 24B (4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan bahan kempen hanya boleh dipamerkan semasa tempoh berkempen, yang bermula selepas hari penamaan dan berakhir pada hari mengundi (9 Mei).

Walaupun begitu, bendera BN dan juga parti-parti politik yang lain, sudahpun dipasang di pelusuk negara. - malaysiakini

Tiada ulasan: