Jumaat, 18 Mei 2018

Bekas pembantu Najib, Ustaz Fathul Bari, terimalah seadanya ketentuan dan takdir Allah. 7666.

Mungkin juga salah seorang dari 17k bekas kakitangan lantikan Politik Putrajaya yang lalu dan yang telah ditamatkan perkhidmatan. 

Surat terbuka kepada bekas pembantu Najib, Ustaz Fathul Bari

Manan Razali

Saya ingin ucap terima kasih pada Ustaz kerana menyuarakan peringatan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya jangan membawa masuk pemikiran liberal. Tetapi saya rasa Ustaz tidak perlu bimbang atau cemas mengenai hal ini. Saya percaya sahabat-sahabat kita yang berfikiran progresif (bukan liberal) akan diberi peranan oleh Dr Mahathir untuk membantunya dalam urusan ini.

Tetapi ada hal lain yang saya ingin sampaikan kepada Ustaz melalui tulisan ini.

Saya terdorong menulis surat ini apabila melihat nama Ustaz dalam laporan FMT dan terus terang saya nyatakan bahawa saya rasa alergik setiap kali apabila ternampak nama Ustaz di mana-mana sahaja sejak Ustaz masuk Umno dulu.

Maka saya ambil peluang ini untuk menyuarakan apa yang terbungkam di dalam lubuk hati saya mengenai kekecewaan saya terhadap Ustaz.

Surat ini saya jadikan ia terbuka supaya boleh dibaca secara umum oleh sesiapa sahaja kerana hal ini menyangkut tentang persoalan kepentingan ummah yang saya rasa telah dikelirukan oleh agamawan dan golongan cerdik pandai seperti Ustaz.

Untuk makluman Ustaz, kita sama-sama adalah pendokong Sunnah. Saya biasa ikuti majlis ilmu yang Ustaz sampaikan di salah sebuah rumah sahabat kita di Taman Tun Dr Ismail waktu Ustaz baru pulang dari Madinah dan bertugas di Institut Jantung Negara sebagai pegawai agama. Kalau Ustaz jumpa saya, saya percaya Ustaz akan masih mengenali saya, insya Allah.

Ini isunya: Saya amat musykil kenapa Ustaz tidak tegakkan sunnah Nabi dan para sahabat baginda dari segi cara berpolitik sepanjang Ustaz berada dalam Umno. Islam ajar penganutnya supaya jangan menyokong pemimpin yang jahat. Jahat di sini termasuk mencuri duit dan harta rakyat, kuat memberi dan menerima rasuah, dan kuat kelentong.

Tetapi Ustaz telah memilih untuk bersama pemimpin-pemimpin begini atas kerelaan Ustaz sendiri.

Apa justifikasi yang Ustaz boleh beri apabila mengajak umat Islam bersama-sama sokong pemimpin-pemimpin yang angkuh dan berganding bahu dengan ketua mereka membelasah duit rakyat, untuk mereka terus memimpin Malaysia?

Tolong tunjuk saya di mana dalam Al-Quran dan sirah Nabi yang Nabi dan para sahabat baginda pernah mengajar umatnya berpolitik dengan cara begini.

Jangan malukan perjuangan sunnah di Malaysia. Perjuangan sunnah di Malaysia sudah melangkau jauh dari bab nak hentam orang tentang amalan-amalan bid’ah dan perkara-perkara lain yang sempit.

Perjuangan sunnah yang lebih utama kini ialah tentang bagaimana kita boleh pelajari dan gunakan prinsip serta dasar yang telah dibentuk dan dilaksanakan oleh Nabi dan para sahabat baginda untuk jadikan ruh Islam itu hidup mekar sebagai Ad-Diin yang bersifat rahmataan lil ‘alamin dengan nilai-nilai kemanusiaan yang sejagat tanpa berkompromi dalam permasalahan aqidah.

Bahkan keperluan ini lebih mendesak di dalam masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama seperti di Malaysia. Fiqh yang perlu kita guna mestilah menjurus ke arah dakwah yang mampu menjadikan Islam menarik untuk didekati dan dipelajari secara sukarela oleh orang-orang bukan Islam.

Kejayaan sebenar kita di sisi Allah diukur apabila kita mampu membuat orang bukan Islam memilih dan menerima agama Islam secara berbondong-bondong tanpa paksaan, sebagai sistem hidup yang dapat memberi mereka keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Lihat Surah An-Nasr ayat 1-3.

Masalahnya ialah apabila Ustaz sokong dan berkhidmat untuk golongan sebegini, orang jadi keliru dengan Islam. Bukan hanya bukan-Muslim yang bingung, malah umat Islampun sama-sama bingung juga!

Apa sandaran agama yg Ustaz gunakan bagi mewajarkan tindakan ini? Adakah Ustaz berada dalam keadaan darurat seperti Ammar bin Yasir yang dipaksa menyanjung berhala kafir Quraisy dan berlepas diri dari Rasullullah untuk selamatkan nyawanya setelah ibubapanya syahid?

Setahu saya, Ustaz memilih untuk masuk Umno atas kerelaan sendiri. Dan apabila dia berhadapan dengan berbagai skandal yang berskala mega seperti 1MDB, Felda, KWAP, Tabung Haji dan yang lain-lain, Ustaz tetap teguh menyokongnya.

Sunnah Nabi yang mana satu yang Ustaz jadikan sandaran di sini? Kenapa tidak Ustaz tinggalkan saja dia dan mereka yang bersama-samanya dalam Umno?

Saya nasihatkan Ustaz lebih baik buat pengakuan taubat dan penyesalan secara terbuka atas pendirian Ustaz yang telah tersilap langkah menyokong dan mengajak umat Islam menyokong Umno. Ini saja yang saya lihat boleh tebus balik kesalahan Ustaz dan rasa malu yang Ustaz telah bawa kepada perjuangan Sunnah di Malaysia.

Selagi Ustaz tidak lakukan ini, saya akan memandang Ustaz sebagai seorang pendokong kemungkaran yang tidak menyesal dengan tindakan untuk duduk bersama pemimpin yang zalim.

Nasib baik Umar al-Khattab tidak hidup bersama kita pada hari ini. Kalau dia ada, mahu dikerjakannya!

Selain ini, kedudukan sebegini berisiko tinggi untuk tidak diakui oleh Nabi sebagai umatnya di akhirat kelak. Hadisnya sahih dan saya percaya Ustaz lebih arif mengenainya.

Akhir kata, saya berdoa semoga Allah akan beri kesedaran kepada Ustaz di bulan mulia yang penuh keberkatan ini atas kesalahan besar Ustaz terhadap umat Islam di Malaysia kerana menyebabkan ramai orang berpihak kepada kebatilan.

Disebabkan peranan Ustaz dalam Umno yang terang-terang menyokong kepimpinan Najib Razak, Ustaz telah memberi mesej tersirat yang kuat bahawa seolah-olahnya tidak menjadi kesalahan untuk memilih pemimpin sepertinya dalam keadaan bukan darurat dan tanpa paksaan.

Inilah kelebihan demokrasi sebenarnya. Kita diberi kebebasan memilih pemimpin tanpa perlu mengangkat senjata.


Tetapi awas! Di akhirat nanti, kita pasti akan dipertanggung-jawabkan atas pilihan tersebut. Dan menurut perkiraan saya, Ustaz telah memainkan peranan yang besar mempengaruhi orang lain membuat pilihan yang terang-terang menyalahi agama.

ref: KERENGGA: Surat terbuka kepada bekas pembantu Najib, Ustaz Fathul Bari




















Tiada ulasan: