Isnin, 14 Mei 2018

Orang umno prajudis setelah Tun tandatangan petisyen bebaskan Anwar. 7614.

BERITA  | MALAYSIA
Tandatangan petisyen bebaskan Anwar: Tun M hina sistem perundangan negara
Diterbitkan pada Mei 22, 2017 23:59 MYT

KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen pembebasan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tidak menghormati, sebaliknya menghina sistem perundangan negara.

Beberapa anggota UMNO yang ditemui hari ini menyifatkan tindakan bekas perdana menteri menandatangani petisyen bagi pembebasan Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat, sebagai lebih bermotifkan kepentingan politik semata-mata.
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (gambar) berkata tindakan Dr Mahathir itu boleh menyebabkan 
kekacauan malah rakyat tidak lagi mempercayai badan kehakiman di negara ini. - Gambar fail

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan berkata tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah seperti beliau (Mahathir) menyokong perbuatan jenayah liwat yang dilakukan Ketua Umum PKR itu.

"Tindakan Tun Dr Mahathir dewasa ini banyak melakukan U-turn, beliau juga mudah lupa dengan apa diungkapnya sebelum ini. Jelaslah, Melayu tidak mudah lupa, tetapi Tun M yang selalu lupa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, menandatangani petisyen itu ketika hadir pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12.

Seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata tindakan Dr Mahathir menandatangani petisyen membebaskan Anwar yang merupakan 'musuhnya' suatu ketika dahulu boleh dianggap seperti 'ada udang di sebalik batu.'

Irmohizam, yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor, berpendapat permainan politik ini sangat berbahaya kepada nama baik negara serta institusi di bawahnya disebabkan keutamaan mementingkan pengaruh dan kekuasaan daripada memikirkan untung nasib serta kebajikan rakyat.

"Mereka sanggup menggadaikan kesetiaan penyokong demi meraih sokongan baharu dan dengan apa cara sekalipun untuk mencapai kepentingan sendiri," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan beliau kini berada dalam keadaan terdesak untuk mencapai apa juga tujuan.

"Mereka akan lakukan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata kredibiliti Dr Mahathir sebagai seorang ahli politik hilang setelah beliau menandatangani petisyen tersebut yang pastinya menimbulkan rasa marah dalam kalangan rakyat kerana kesalahan dilakukan Anwar merupakan kes yang besar.

"Tun Mahathir telah memporak-perandakan keadaan politik dan ekonomi negara dan untuk Tun kembali meminta Anwar dibebaskan, saya rasa apa yang Tun perlu buat ialah memohon maaf secara terbuka kepada rakyat sebab telah memberi gambaran yang lain terhadap kesalahan Anwar," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata tindakan Dr Mahathir itu boleh menyebabkan kekacauan malah rakyat tidak lagi mempercayai badan kehakiman di negara ini.

"Jika tidak menghormati keputusan mahkamah, negara akan menjadi huru-hara kerana tiada lagi badan keadilan yang mesti dihormati," kata Ahmad Jazlan, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta rakyat Malaysia supaya menilai sendiri bahasa tubuh dan kenyataan Dr Mahathir pada masa kini, yang jelas tidak sama berbanding sewaktu beliau memimpin negara.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata tindakan Dr Mahathir itu menbuktikan beliau adalah seorang yang tidak konsisten dalam keputusannya terhadap Anwar sewaktu menjadi perdana menteri.

"Dahulu yang ambil tindakan kepada Anwar adalah Mahathir yang ketika itu dia adalah perdana menteri dan sudah pasti tindakan ke atas Anwar itu berlandaskan undang-undang negara.

"Jika sekarang ini dia mahu membebaskan Anwar, ini bermakna tindakannya yang dahulu itu (sehingga Anwar dipenjarakan) adalah berlandaskan emosi dan bukannya salah Anwar," kata Jalaluddin, yang juga Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Dr Mahathir itu dilihat sebagai satu langkah 'mencuci dosa' yang dilakukannya malah ramai yang menganggap bekas perdana menteri itu 'menganiaya' timbalannya ketika beliau berkuasa.

-- BERNAMA

ref: 
Tandatangan petisyen bebaskan Anwar Tun M hina sistem perundangan negara | Astro Awani































Tiada ulasan: